AGENDANASIONAL

Kebakaran di Sumatera, Kalimantan punca jerebu

PUTRAJAYA, 1 OGOS : Keadaan sedikit berjerebu pagi ini yang dikesan di sekitar Lembah Klang, selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Barat Sarawak adalah disebabkan oleh jerebu merentasi sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pukul 9 pagi hari ini mencatatkan bacaan tinggi di Nilai, Negeri Sembilan (89), Cheras, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing mencatatkan bacaan IPU 85.

Di Johan Setia, Klang pula mencatatkan tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 104 yang disebabkan oleh aktiviti pembakaran di kawasan pertanian yang menyebabkan jerebu setempat di kawasan tersebut, katanya.

Berdasarkan laporan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 31 Julai, imej satelit Pusat Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) 19 mengesan 21 titik panas ) di Sumatera dan 38 titik panas di Kalimantan.

Lima titik panas dalam negara yang turut dikesan iaitu di Johor (satu) dan Pahang (empat) yang akan disiasat di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, kata JAS.

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Daya berpotensi untuk membawa asap jerebu dari kawasan Sumatera dan Kalimantan yang terjejas ke kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan kawasan Barat Sarawak yang akan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Menurut JAS, tinjauan cuaca sehingga 4 Ogos 2019 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pula mendapati bahawa negara kini masih dalam fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga pertengahan September 2019.

“Ribut tropika Wipha yang menghampiri Pulau Hainan dijangka bergerak ke arah barat menghampiri utara Vietnam. Sistem ini mempengaruhi corak tiupan angin di rantau negara dan keadaan cuaca juga dijangka lebih kering sepanjang tempoh ramalan,” katanya.

“JAS akan terus memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan yang berpotensi menyebabkan pencemaran jerebu merentasi sempadan ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan ke Sarawak,” kata jabatan itu.

Orang awam boleh merujuk laman web JAS di alamat url, http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam, katanya.

Bagi menangani cuaca panas dan kering, JAS berkata setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

“Pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM 2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang ramai juga diminta untuk bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727, kata JAS. -BERNAMA


Pengarang :