AGENDANASIONAL

Keputusan FGV Holdings batal tuntutan balas lima bekas Pegawai Kanan 1 November

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 1 November depan untuk keputusan permohonan FGV Holdings Berhad dan 10 pihak lagi bagi membatalkan tuntutan balas dikemukakan lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV terhadap syarikat itu berhubung dakwaan kerugian dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada 2014.

Kelima-lima individu berkenaan sebelum ini disaman oleh FGV yang menuntut RM514 juta berhubung dakwaan kerugian yang timbul daripada pengambilalihan atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan daripada pengambilalihan APL dan mereka kemudiannya memfailkan tuntutan balas terhadap saman itu.

Mereka ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Peguam Fahda Nur Ahmad Kamar yang mewakili lima individu berkenaan ketika ditemui pemberita, berkata hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan berkenaan di dalam kamar Hakim Datuk Azimah Omar yang turut dihadiri peguam Ang Hean Leng bertindak bagi pihak FGV Holdings dan 10 individu terdiri daripada pengerusi serta pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV.

“Selepas mendengar kedua-dua pihak berhujah, mahkamah menetapkan 1 November depan untuk keputusan permohonan FGV bagi membatalkan tuntutan balas berkenaan,” katanya.

Fahda berkata pihaknya berhujah bahawa tuntutan saman oleh FGV menyalah guna proses mahkamah apabila syarikat itu membawa tindakan undang-undang terhadap bekas pengarah bukan eksekutif syarikat berkenaan.

“Wang RM514 juta yang dituntut oleh FGV adalah hutang syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ang pula memberitahu, pihaknya berhujah bahawa tuntutan balas berkenaan adalah remeh, mengaibkan dan menyalah guna proses mahkamah serta kelima-lima individu tersebut tidak mempunyai kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tuntutan balas tersebut.

Lima individu itu selaku plaintif memfailkan tuntutan balas pada 11 Februari lepas dengan menamakan syarikat terbabit dan 10 yang lain terdiri daripada pengerusi serta pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV selaku defendan.

Sepuluh individu itu ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, individu lain yang dinamakan sebagai defendan ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu pengerusi FGV pada masa itu; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran Farisan Mokhtar; dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas pengarah bukan eksekutif FGV iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd, Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014. – BERNAMA


Pengarang :