AGENDAJENAYAH

Lima lelaki geng Ah Long tawar pinjaman tidak wujud ditahan

GEORGE TOWN, 6 OGOS: Polis berjaya menumpaskan geng Ah Long yang turut menawarkan pinjaman tidak wujud yang aktif di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM100,000 selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Lebuh Kudin, Gelugor di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis menyerbu kondominium itu pukul 8.30 pagi dan menahan lima lelaki berumur 23 hingga 32 tahun berkenaan susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa pada April lalu.

“Hasil siasatan mendapati geng itu akan mengiklankan pinjaman wang dengan tawaran faedah yang rendah melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa secara rawak dan mereka yang berminat dikehendaki membayar sejumlah bayaran pemprosesan,” katanya di sini hari ini.

Katanya bagaimanapun, pinjaman itu sebenarnya tidak wujud dan mangsa akan menyedari mereka tertipu apabila wang pinjaman yang mereka mohon tidak dimasukkan ke akaun mangsa.

Beliau berkata setakat ini, geng itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya dalam lapan kes di Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu membabitkan kerugian mangsa hampir RM100,000 sejak awal tahun ini namun pihaknya percaya mereka terlibat dalam banyak lagi kes di negeri ini serta beberapa negeri lain.

Anbalagan berkata selain menawarkan pinjaman wang tidak wujud, geng itu turut menjalankan pinjaman wang tidak berlesen atau Ah Long dengan mengenakan faedah yang tinggi selain mengugut akan mencederakan mangsa jika gagal membayar dalam tempoh ditetapkan.

Katanya mangsa yang membuat laporan polis pada April lepas itu mendakwa suspek telah menghantar iklan pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa tertarik.

“Mangsa kemudiannya berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM1,000 dan memberi butiran seperti nombor kad pengenalan serta akaun bank kepada suspek sebelum geng itu memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun mangsa tanpa persetujuan serta pengetahuan mangsa dan kemudian suspek mendesak mangsa membuat pembayaran semula pinjaman sebanyak RM1,200,” katanya.

Beliau berkata oleh kerana bimbangkan keselamatan dan sering didesak oleh suspek, mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun suspek sebelum membuat laporan polis.

“Susulan penahanan lima lelaki itu, polis merampas 21 telefon bimbit dan 26 kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipercayai milik peminjam namun disimpan oleh geng Ah Long berkenaan untuk mengambil wang gaji mangsa,” katanya.

Menurutnya kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951. – BERNAMA


Pengarang :