AGENDANASIONAL

MIROS kaji selidik perkhidmatan teksi motosikal

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menjalankan Kajian Persepsi Pengguna Jalan Raya Terhadap Kebolehlaksanaan Perkhidmatan Teksi Motosikal bermula hari ini hingga 7 September ini.

Badan penyelidik itu dalam kenyataan berkata, kajian yang dilakukan secara dalam talian melalui pautan http://its.miros.gov.my/kajianteksimotosikal/ itu menyasarkan penunggang motosikal dan orang awam.

Katanya, ia bagi mengenal pasti tahap penerimaan pengguna jalan raya terhadap kebolehlaksanaan perkhidmatan teksi motosikal meliputi aspek keselamatan jalan raya, perundangan, aliran trafik, ekonomi, keselamatan sosial, kesihatan, budaya serta peralihan mod pengangkutan.

“Hasil dapatan daripada kajian ini akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan bagi merangka mekanisme pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia.

“Oleh itu, orang awam dijemput untuk menyertai kajian ini bagi menyuarakan pendapat dan pandangan berhubung perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Pelaksanaan kajian itu susulan keputusan Jemaah Menteri pada 21 Ogos lalu yang bersetuju supaya perkhidmatan ‘ride-hailing’ berasaskan motosikal dibenarkan dalam melaksanakan Proof Of Concept (POC), di negara ini.

Bagaimanapun, keputusan berhubungnya akan dimuktamadkan setelah kajian terhadap aspek penting lain dikaji terlebih dahulu.

-BERNAMA


Pengarang :