AGENDANASIONAL

Permintaan bekalan daging ibadah korban cecah 40,000 ekor

CYBERJAYA, 5 OGOS: Permintaan bekalan daging lembu sempena Aidiladha kali ini mencecah 40,000 ekor, sementara bekalan sedia ada ialah 45,000 ekor, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Beliau berkata, permintaan bagi kambing dan biri-biri ialah 30,000 ekor sementara bekalan sedia ada ialah 35,000 ekor.

“Jadi pihak kementerian yakin bekalan lembu, kerbau dan kambing untuk ibadat korban sempena Aidiladha minggu depan bukan sahaja dijamin mencukupi, malah melebihi permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengeluaran Arnab Dalam Iklim Tropika di Tamarind Square, di sini hari ini.

Menngulas lanjut, Dr Quaza berkata, sempena sambutan itu juga, sebanyak 28 rumah sembelih Jabatan Perkhidmatan Veterinar dibuka di seluruh negara dan sedia beroperasi.

Katanya, 44 rumah sembelih ruminan swasta turut dibuka seluruh negara bagi penyembelihan ternakan korban.

“Bagi mereka yang membuat penyembelihan di surau atau masjid mahupun tempat awam perlu mendapatkan permit penyembelihan terlebih dahulu.

“Ini supaya haiwan yang hendak disembelih itu tidak sakit dan sihat. Setakat ini kita sudah menggerakkan pegawai berkenaan untuk membuat pemantauan,” katanya.


Pengarang :