AGENDANASIONAL

Pesta Sukan Antarabangsa mampu lonjak nama UiTM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pesta Sukan Antarabangsa (ISF) kali ke-14 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Julai sehingga 4 Ogos ini dijangka dapat melonjakkan nama universiti berkenaan di persada antarabangsa.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, dalam penganjuran pada tahun ini kejohanan sukan berkenaan disertai seramai 850 atlet dan pegawai dari 26 universiti tempatan dan luar negara.

“Penganjuran yang bermula pada tahun 2006 ini telah memberi banyak peluang kepada semua universiti untuk menjalinkan kerjasama dengan UiTM bukan hanya dalam bidang sukan bahkan juga dalam bidang akademik.

“Saya juga berharap dengan penganjuran acara ini turut melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara untuk dilawati dan menjadi tempat untuk menganjurkan program sukan sebegini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian UISF di Stadium Hoki UiTM Shah Alam, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Nazip Suratman.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari itu di UiTM Shah Alam menyaksikan penyertaan universiti dari luar negara antaranya dari Indonesia, Singapura, Brunei, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan.

Universiti dari China dan Australia yang menyertai kejohanan itu buat julung kalinya dijangka akan bersaing sengit dalam acara bola keranjang dan tenpin boling.

Antara acara lain yang dipertandingkan di fiesta sukan berkenaan adalah futsal, badminton, tenis, ping pong dan ragbi 7 sebelah.

-BERNAMA


Pengarang :