Muhammad Hilman Idham ketika melancarkan ‘Greenwood The New Outlook’ dan Kempen Basmi Tikus Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di Medan Selera MPS Taman Greenwood, di sini hari ini
ADNSELANGOR

Projek Regenerasi bandar hidupkan kesuraman Taman Greenwood

GOMBAK, 24 OGOS: Kemegahan Taman Greenwood yang sebelum ini menjadi nadi Gombak kembali ‘berdenyut’ melalui pembangunan Projek Regenerasi Bandar dengan penjenamaan ‘Greenwood The New Outlook’.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, projek berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa pembangunan meliputi kawasan dari persimpangan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) ke Taman Greenwood ke Masjid As-Shariff, Gombak.

Katanya, fasa pertama projek itu sudah dimulakan dengan anggaran kos RM4 juta dan dijangka siap menjelang April 2020.

“Fasa pertama akan meliputi usaha pembangunan Linear Park dan Taman Hijau untuk kegunaan riadah keluarga, pembinaan Dataran Greenwood yang lebih menarik, kerja menaik taraf laluan pejalan kaki serta railing juga pembangunan mercu tanda (pylon).

“Sementara itu, pembangunan fasa kedua meliputi usaha menaik taraf medan selera, stesen bas dan laluan pejalan kaki dan railing termasuk pengindahan fasad bangunan komersial dengan konsep ‘street art’,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Hilman melancarkan ‘Greenwood The New Outlook’ dan Kempen Basmi Tikus Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di Medan Selera MPS Taman Greenwood, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, projek dengan perancangan bersama MPS itu akan menampilkan Taman Greenwood yang berwajah baharu dan lebih ceria serta berdaya huni, sekali gus memacu perkembangan komuniti bandar sejahtera.

Katanya, nilai hartanah semasa terutama di Gombak Setia mampu ditingkatkan selain menjamin pembangunan berkualiti demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian lingkungan.

“Ini kerana kawasan komersil perniagaan yang sebelum ini suram tanpa kunjungan pelanggan bakal disuntik dengan imej lebih kreatif, di samping prasarana yang moden akan menarik lebih ramai anak muda melakukan aktiviti di Greenwood Park.

“Malah, lebih penting kemegahan Taman Greenwood akan menjana ‘esprit de corps’ atau kebersamaan dalam masyarakat yang bangga dengan kawasan mereka,” katanya.


Pengarang :