Muhammad Ariff Zahil, 13 (kiri) menunjukkan koleksi permainan Beyblade kepada rakannya. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Pemain beyblade makin profesional

KAJANG, 24 OGOS : Fenomena gasing moden atau lebih dikenali sebagai beyblade semakin dikenali ramai apabila pertandingan permainan itu diadakan di pelbagai peringkat.

Muhammad Ariff Zahil Hilmi di antara peminat beyblade yang menyertai pelbagai pertandingan dan menjadi pengumpul beyblade profesional sejak berusia 11 tahun.

Gelagat remaja berusia 13 tahun itu turut mencuri perhatian apabila dia membawa peralatan beybladenya menggunakan kotak simpanan khas.

Katanya, kotak khas itu diubahsuai dari bekas kosmetik milik ibunya dan digunakan bagi menyimpan beyblade ketika menyertai pertandingan.

“Pada saya beyblade ini menyeronokkan dan kita boleh mengubahnya mengikut kesesuaian, tidak seperti permainan di telefon bimbit yang membuatkan kita leka sehingga berjam-jam lamanya.

“Beyblade cukup kita main sekuran-kurangnya 10 minit untuk hilangkan rasa ‘ketagih’,” katanya kepada SelangorKini.

Dia ditemui ketika pada pertandingan beyblade sempena Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ Majlis Perbandaran Kajang di Taman Impian Setia Kajang, hari ini.

Sementara itu, ibunya, Azlin Othman, 40, berkata anak tunggalnya itu membeli beyblade menggunakan wang yang dikumpulkan hasil dari duit poket sekolah.

“Permainan beyblade ini mempunyai kebaikannya tersendiri kerana anak saya menjadi lebih fokus ketika membuat sesuatu perkara.

“Biarlah dia bermain beyblade daripada leka dengan telefon bimbit yang boleh mengkhayalkan serta mempunyai pelbagai kandungan tidak baik,” katanya.


Pengarang :