Wan Saiful Wan Jan (baris belakang, lima kiri) bergambar bersama sebahagian daripada para pelajar yang menerima surat tawaran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN pada Majlis Penyampaian WPP malam tadi. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

PTPTN keluar waran wang pendahuluan pembiayaan RM31 juta

KANGAR, 20 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) sebanyak RM31 juta kepada 20,716 pelajar bagi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam, sesi September 2019.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian WPP itu adalah permulaan kepada usaha PTPTN untuk memastikan tiada pelajar yang tidak boleh melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ekoran masalah kewangan.

“WPP RM1,500 diberikan bagi setiap seorang pelajar warganegara Malaysia yang membuat persetujuan menerima WPP melalui saluran ditetapkan PTPTN semasa memohon UPU Online atau melalui portal kemasukan IPT.

“Ibu bapa pelajar mestilah penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan WPP di sini semalam.

Bagi negeri Perlis, seramai 231 pelajar akan ditawarkan WPP bagi sesi ini dengan peruntukan RM346,500.

Wan Saiful berkata, surat tawaran WPP yang diberikan mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan dan tempoh sah laku tawaran WPP pada kali ini adalah pada 27 Ogos 2019 hingga 27 Oktober 2019.

Pelajar boleh menunaikan WPP ini di mana-mana kaunter Bank Islam mulai 27 Ogos 2019 dengan membawa surat tawaran dan juga MyKad pelajar itu sendiri dan wakil adalah tidak dibenarkan.

Wan Saiful turut mengingatkan pelajar berkenaan untuk membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui Portal PTPTN mulai 1 Ogos 2019 hingga 31 Ogos 2019 bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sebagaimana sepatutnya.

“Pelajar hendaklah merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus kepada PTPTN jika terdapat sebarang keraguan atau kekeliruan,” katanya.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan zakat PTPTN bernilai RM5,000 kepada seorang pelajar asnaf Perlis, Nurul Ain Mohamad Firdaus, 18.

Beliau berkata zakat PTPTN mula ditubuhkan pada 2016 untuk memastikan PTPTN patuh syariah.

-BERNAMA


Pengarang :