Datuk Seri Rina Mohd Harun bersama Yeo Bee Yin melihat lampu LED ketika melancarkan pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Jenis Light Emitting Diode (LED) dari Dana Incentive Based Regulation (IBR) Tahun 2019/2020 di Kampung Rinching Hilir malam tadi. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Pemasangan 10,000 lampu LED di jalan kampung dijangka siap 2020

HULU LANGAT, 20 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memasang 10,000 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) jenis Light Emitting Diode (LED) di kampung di Semenanjung Malaysia, bermula tahun ini dan dijangka siap tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pemasangan unit lampu jenis LED itu menggunakan dana Incentive Based Regulation (IBR) kementeriannya bagi tahun 2019/2020 yang akan memanfaatkan penduduk kampung yang memerlukan penggantian lampu jalan sedia ada.

“Inisiatif LJK ini adalah kerjasama antara KPLB dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), yang pemasangan unit lampu ini akan digerakkan oleh kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kita fokus kepada pemasangan LJK di kampung di seluruh negeri di Semenanjung dahulu mengikut keperluan kampung itu sendiri. Untuk Sabah dan Sarawak, kita akan menggunakan peruntukan bajet KPLB,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pemasangan LJK di Kampung Rinching Hilir di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Rina berkata, daripada segi pengoperasian dan penyelenggaraan, kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM83 juta setahun bagi memastikan lampu yang dipasang sentiasa menerangi kawasan kampung.

Sementara itu, Bee Yin berkata, kementeriannya tidak menerima sebarang permohonan bertulis daripada kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mengenai permohonan fasiliti pelupusan kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) di Pahang seperti dilaporkan.

Bernama semalam melaporkan kilang memproses nadir bumi Lynas setakat ini tiada mengemukakan permohonan rasmi secara spesifik lokasi PDF bagi residu WLP yang dikatakan akan dibangunkan di Pahang.

Ketika ditanya pemberita berhubung isu pembaharuan permit operasi Lynas untuk tempoh enam bulan lagi, Bee Yin berkata, kementeriannya MESTECC akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Untuk isu Lynas, MESTECC akan meneruskan pemantauan secara rapi bagi memastikan mereka terus mematuhi syarat ditetapkan selepas pembaharuan lesen,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :