Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra bersama rakyat Malaysia ketika berangkat pada Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat Malaysia sempena Lawatan Negara Seri Paduka selama tiga hari bermula 18 Ogos lalu. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Rakyat Malaysia di Brunei berbesar hati jumpa Agong, Permaisuri

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS: Berbesar hati dan teruja, perasaan itu dizahirkan rakyat Malaysia yang bermastautin di Brunei apabila berpeluang bertemu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini malam tadi.

Guru agama Abdul Rahman Yunus, 84, ketika ditemui wartawan Malaysia berkata beliau terharu kerana Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat bertemu rakyat Malaysia di sini, dan menunjukkan sikap peramah dan mesra rakyat.

Beliau yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan dan menetap di Brunei sejak 1958, berkata detik itu mengimbau kembali kenangan bertemu Almarhum Sultan Ahmad Shah, ayahanda kepada Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 1984.

“Kami sebagai rakyat Malaysia rasa berbesar hati dapat menghadap Tuanku kerana bukan mudah untuk kami yang duduk di luar negara. Tuanku merupakan Agong yang peramah dan mudah didekati,” katanya.

Pada majlis Santapan Malam yang diadakan di Royal Polo and Riding Club, di sini, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat bertemu kira-kira 200 rakyat Malaysia yang tinggal di negara ini.

Mereka yang hadir terdiri daripada pelajar, ahli akademik serta wakil Pertubuhan Kebajikan Melayu Semenanjung Malaysia dan Persatuan Warganegara Malaysia.

Majlis itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan negara Sultan Abdullah selama tiga hari di Brunei bermula hari ini. Brunei merupakan negara sulung dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Lawatan berkenaan bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin lebih tiga dekad lamanya.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam.

Turut menzahirkan rasa gembira adalah isteri Abdul Rahman, Esah Karim, 63, yang juga ahli Persatuan Kebajikan Melayu Se-Malaysia (PKMS), yang tidak menyangka dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong.

“Dulu patik pernah menghadiri majlis menghadap Almarhum ayahanda Tuanku (Almarhum Sultan Ahmad Shah). Sekarang bertemu Tuanku. Rasa terharu dan gembira.

“Alhamdulillah Agong (Sultan Abdullah) peramah termasuk Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah. Saya banyak baca dalam Facebook (keramahan Tuanku berdua), buat saya lebih excited (teruja) hendak datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, doktor di Klinik Pesakit Luar, Jerudong Park Medical Centre, Dr Norhasyimah Mahadi, 38, berkata pertemuan itu merupakan peluang keemasan untuk bertemu pasangan diraja itu.

“Sangat teruja sebab saya tidak dapat meraikan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong bersama-sama rakyat di Malaysia,” katanya.

Seramai 25,000 rakyat Malaysia bermastautin di negara ini, dengan 10,000 daripadanya golongan profesional antaranya dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran serta ahli perniagaan.

-BERNAMA


Pengarang :