AGENDASUKANKINI

Selangor gagal raih tiga mata penuh di Shah Alam

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi ketiga Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah kini mengumpul lima mata di kedudukan kedua dan dipisahkan hanya satu mata dengan pendahulu, Melaka yang membenam Felda United 3-1 dalam aksi kumpulan, kelmarin.

Saingan Kumpulan D untuk memburu dua slot ke peringkat suku akhir masih terbuka dengan satu mata berjaya dicuri PDRM malam ini membolehkan skuad bimbingan E. Elavarasan mengumpul empat mata untuk terus memberi tekanan kepada Melaka dan Selangor.

Pada aksi disaksikan 2,110 penonton itu, pemain PDRM Argzim Redzovic menafikan kemenangan tuan rumah selepas pertahanan itu menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-59, tujuh minit setelah Selangor meledak gol pembukaan menerusi Sandro da Silva.

Tersentak dengan itu, Sathianathan membawa masuk dua penyerang – Amri Yahya dan Sean Eugene Selvaraj dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kekemasan benteng pertahanan PDRM berjaya mengekang hasrat Selangor meraih kemenangan di laman sendiri.

Sementara itu, episod berbeza dialami PJ City FC selepas skuad dibimbing K. Devan itu berjaya mempertahankan satu gol untuk mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan UiTM FC 1-0 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Penyerang import dari Timor Leste, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gios muncul wira pasukan menerusi gol tunggal perlawanan pada minit ke-29.

PJ City FC kini mengumpul enam mata di kedudukan kedua, sekali gus mengekori rapat juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu Kumpulan B dengan tujuh mata.

-BERNAMA


Pengarang :