Sultan Nazrin menerima zakat perniagaan bagi pihak MAIPk daripada lima syarikat di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sultan Nazrin terima zakat perniagaan RM13.1 juta

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima pemberian zakat perniagaan berjumlah RM13.1 juta bagi tahun 2018 daripada lima buah syarikat.

Sultan Nazrin berkenan menerima zakat tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Perak, Changkat Persekutuan, di sini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi pembayar zakat perniagaan terbesar dengan jumlah RM12.1 juta diikuti Agrobank (RM446,700) dan QSR Brands (M) Holdings Bhd (RM379,555).

Co-opbank Pertama pula menyerahkan zakat berjumlah RM109,604 manakala Rural Capital Berhad sebanyak RM68,950.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan cek-cek pembayaran zakat berkenaan kepada Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

– BERNAMA


Pengarang :