BERITA UTAMA

Axia 2019 dibuka untuk tempahan

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kini membuka tempahan bagi Perodua Axia 2019, dengan harga bermula dari RM24,090 hingga RM43,190 (di atas jalan dan sebelum insurans bagi Semenanjung Malaysia).

Model ditawarkan dalam enam varian iaitu E,G, GXtra, SE, AV dan varian baharu STYLE.

Ia menggunakan enjin kuasa 1.0 litre 1KR-VE dengan ’variable valve timing’, disambung kepada transmisi manual lima kelajuan pada varian E, dan transmisi empat kelajuan automatik kawalan elektronik pada semua varian yang lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Bantuan Keselamatan Termaju (ASA) 2.0, iaitu suite untuk bantuan keselamatan pemandu yang julung kali dipasang pada SUV tujuh tempat duduk Aruz pada Januari, turut dipasang pada varian AV Axia, menjadikannya kereta dengan ciri itu yang paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 dilengkapi Pengesanan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pelepasan Depan dan Kawalan Silapoperasi Pedal.

“Dengan memasang ASA 2.0 pada Perodua Axia 2019, kami membawakan teknologi keselamatan termaju kepada orang ramai, sama seperti apa yang kami lakukan pada Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017.

“Ciri tambahan berkenaan dan ditambah dengan kecekapan bahan api, praktikal, luas, kos pemilikan rendah, mudah dipandu dan boleh dipercayai dan pada masa yang sama mengekalkan aspek kemampuan, bererti Axia kini menawarkan nilai lebih tinggi daripada sebelumnya,” kata Zainal.

Perodua Axia 2019 ditawarkan dengan waranti lima tahun/150,000 kilometer atau mana yang dahulu.

– BERNAMA


Pengarang :