SOLIHAH YAACOB
AGENSISELANGOR

Usia, kerja bukan penghalang tamat pengajian

SHAH ALAM, 16 OGOS: Usia, kerja dan bergelar ibu bukanlah penghalang untuk membolehkan dua wanita ini meraih diploma dalam bidang masing-masing.

Kedua-dua wanita itu adalah antara 23 graduan daripada kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan anak syarikat yang berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Diploma Kemahiran Malaysia, hari ini.

Salah seorang daripada wanita berkenaan ialah Solihah Yaakob, 42, yang juga Ketua Sektor Rekaan Rambut dan Kecantikan Kolej Antarabangsa INPENS.

Cerita Solihah, dia menyambung pengajiannya kerana tidak pernah menganggap jawatan dan pengalaman yang sedia ada padanya sudah mencukupi.

“Saya belajar kerana mahu meningkatkan pengetahuan dan secara tidak langsung boleh menjadi ‘suara’ kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, ini disebabkan sijil pentauliahan yang diperolehi saya ini membolehkan pandangan kami didengari.

“Selepas berjaya tamat bagi peringkat keempat dalam Diploma Pengurusan Pentadbiran, saya bercadang untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat kelima,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, bagi Pegawai Yayasan Hijrah Selangor, Sarasvathy Raman, 45, pula mengucapkan terima kasih kepada MBI kerana memberi peluang kepadanya untuk memegang Diploma Pengurusan Pentadbiran.

“Apabila kita sentiasa cuba meningkatkan diri, sudah tentu kehidupan juga akan bertambah baik.

“Bagaimanapun, sokongan keluarga sangat penting dan saya juga mampu membahagikan masa bersama suami dan lima anak. Belajar sambil bekerja bukanlah penghalang bagi saya,” katanya.


Pengarang :