Remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wan Azizah sedih kematian Nora Anne

SHAH ALAM, 14 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sedih susulan penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Dalam kenyataan ringkas, Wan Azizah turut melahirkan simpati dengan insiden berkenaan dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

“Saya amat sedih dengan kematian Nora Anne, saya berdoa semoga keluarganya diberi kekuatan sepanjang melalui tempoh yang menyedihkan ini.

“Kami percaya polis akan melakukan yang terbaik untuk membongkar kematian tragis ini,” katanya melalui Facebooknya, hari ini.

Keluarga Nora Anne mengesahkan mayat perempuan yang ditemui pada 1.57 tengah hari semalam adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat peranginan di The Dusun, Pantai Hill, Nilai di sini sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, dilaporkan berkata pengesahan itu diperoleh selepas anggota keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang selepas 10 hari usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan

Mayat tanpa pakaian tetapi dalam keadaan sempurna itu ditemui oleh sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi SAR.

Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan helikopter dan terus diterbangkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.


Pengarang :