SELANGOR

90 orang sertai Kembara Merdeka Air Terjun Setinggi

SHAH ALAM, 3 SEPT: Seramai 90 orang menyertai Kembara Merdeka Air Terjun Setinggi menerusi program Merdeka Sihat Bersama Alam Sekitar di Serendah pada 31 Ogos lalu.

Ketua Biro Penerangan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Melor, Mohd Kamal Hashim berkata, peserta terlibat adalah dari KRT Desa Melor, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Dato Harun dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia.

Katanya, objektif kembara itu untuk membudayakan amalan hidup sihat kepada masyarakat setempat selain menghayati erti kemerdekaan sebenar.

“Melalui kemerdekaan juga kita kini hidup dalam suasana aman damai dan berjaya mengekalkan kehijauan di tanah air Malaysia.

“Selain itu, kembara ini juga dapat meningkatkan semangat kekitaan dan kerjasama ahli komuniti selain mengekalkan kebersihan serta kehijauan Air Terjun Setinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamal selaku juru pandu arah kembara berkata, Serendah antara pekan yang mempunyai pelbagai cerita dan tapak peninggalan sejarah.

Menariknya, beliau berkata, hampir 65 peratus peta topografi Serendah diliputi kehijauan hutan flora dan fauna yang menggamit ketenangan.

Serendah juga terkenal kerana sejarahnya sebagai pusat memproses bijih timah dan pernah menjadi antara salah sebuah tempat pengeluar bijih timah utama di Malaysia.


Pengarang :