Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa barisan kehormat Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Presint 1 pada 12 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong sempurnakan istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini.

Keberangkatan tiba pasangan Diraja pada jam 8.30 pagi itu disambut dengan alunan lagu Negaraku daripada Pancaragam Gabungan Pusat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 21 das tembakan kehormatan dari 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil.

Ia disusuli terbang lintas hormat lima buah helikopter ATM yang membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai Mejar Abdul Khalid Zainal Abidin dari No 10 Skuadron TUDM.

Seri Paduka kemudiannya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 22 pegawai dan 550 anggota ketiga-tiga cabang-cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas untuk menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Usai pemeriksaan barisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM diketuai Mejar Muhammad Nor Azizan Yahaya masuk membuka medan sekali gus istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan, dalam tempo kawad perlahan dan cepat.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Pahlawan Negara pada penghujung istiadat disusuli dengan bacaan doa.

Al-Sultan Abdullah kemudian sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM itu, sebelum berangkat meninggalkan majlis itu pada pukul 9.30 pagi.

Iringan muzik lagu-lagu patriotik dimainkan Pancaragam Pusat ATM sepanjang istiadat itu berlangsung kira-kira satu jam menyerikan lagi majlis.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Turut hadir ke istiadat itu ialah pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, atase pertahanan beberapa kedutaan serta suruhanjaya tinggi di negara ini.

Istiadat pada hari ini diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku bersekali lintas helikopter ATM.

– BERNAMA


Pengarang :