AGENDAGLOBAL

OIC mahu ada mesyuarat tergempar bincang kenyataan Netanyahu

JEDDAH, 12 SEPT: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam waktu terdekat untuk membincangkan mengenai kenyataan Perdana Menteri Israel yang mahu memberi kedaulatan kepada Lembah Jordan, lapor agensi berita Anadolu.

Pada Selasa lalu, Netanyahu mencetuskan kontroversi menerusi ucapannya semasa mengadakan kempen pilihan raya.

Netanyahu berkata, Israel akan memberikan kedaulatan ke atas Lembah Jordan dan penempatan lain di Tebing Barat andai beliau memenangi pilihan raya yang akan diadakan pada 17 September ini.

Setiausaha Agung OIC, Yousef bin Al-Othaimeen mengutuk sekeras-kerasnya hasrat Netanyahu itu.

Katanya, “kenyataan berbahaya ini adalah satu lagi pencerobohan terhadap hak rakyat Palestin”.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan akan membincangkan mengenai langkah politik dan undang-undang yang mungkin boleh diambil untuk menentang pencerobohan baru oleh rejim zionis itu.

– BERNAMA


Pengarang :