BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Air Percuma hanya untuk yang benar-benar layak

Berikut adalah kenyataan penuh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung pengumuman pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan:

Pada 23 November 2018, Dewan Negeri Selangor meluluskan supaya penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma dilaksanakan bagi mencapai matlamat sebenar lnisiatif Peduli Rakyat (IPR) iaitu untuk meringankan beban kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan dan layak.

Bermula 1 Jun 2008, Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Program Pemberian Air Percuma 20-meter padu pertama bersamaan RM 11.40 setiap bulan kepada semua pengguna domestik bermeter individu di Selangor.

Selain itu juga, penghuni rumah pangsa yang menggunakan meter pukal yang layak turut menikmati program air percuma ini bermula dari Jun 2010.

Program Pemberian Air Percuma ini telah dapat dinikmati oleh semua peringkat pendapatan walaupun tujuan asalnya adalah untukmengurangkan beban kos sara hidup rakyat Negeri Selangor, khususnya kepada golongan berpendapatan
rendah.

Sehingga 31 Disember 2018, sebanyak RM 1.8 billion telah dibelanjakan bagi melaksanakan Program Pemberian Air Percuma ini. Manakala, bagi sepanjang 2019 pula, kos pelaksanaan Program Pemberian Air Percuma ini dijangka akan terus meningkat sehingga mencecah RM220 juta.

Keputusan menjajarkan semula skim air percuma ini diambil oleh Kerajaan Negeri atas faktor peningkatan jumlah penduduk saban tahun yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan yang dibelanjakan bagi menampung perbelanjaan skim air percuma ini.

Selain itu, Skim Air Darul Ehsan ini juga akan dapat menyasarkan golongan yang amat memerlukan di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

Penjajaran ini adalah perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan.

Bagi memastikan program ini menepati objektif perlaksanaannya dan sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah perbelanjaan yang berkualiti penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma akan dikuatkuasakan bermula pada 1 Mac 2020 dan dijenamakan sebagai “Skim Air Darul Ehsan”.

Skim ini menyasarkan kepada kumpulan penduduk di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM 4,000.00 dan ke bawah bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.

Manakala, bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakannya adalah sama, namun permohonan mereka perlulah mendapat pengesahan dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). Setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis sahaja.

Pengguna yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan secara atas talian melalui laman web Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan yang boleh dimuat turun atau diperolehi melalui saluran berikut:-

• Laman web: www.airselangor.com
• Kaunter Perkhidmatan di semua sepuluh (10) pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
• Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)
• Hubungi talian 15300 untuk pertanyaan dan bantuan

Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan boleh diperolehi dibeberapa saluran termasuk di semua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan laman web Air Selangor.-Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Borang permohonan yang telah diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui emel kepada [email protected] atau diserahkan di mana-mana Kaunter Perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.

Air Selangor akan bekerjasama dengan pejabat Ahli Dewan Negeri, Pejabat Daerah, Penghulu, Ketua Kampung, Badan Pengurusan Bersama dan Persatuan Penduduk bagi memberikan penerangan berhubung pelaksanaan Program Skim Air Darul Ehsan ini.

Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan ini akan bermula pada 30 September 2019 sehingga 31 Disember 2019. Proses pendaftaran ini adalah untuk mengumpul dan mengemaskini semua data pemohon Skim Air Darul Ehsan dan bagi proses pengesahan pemohon yang layak melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Proses semakan silang hanya akan bermula selepas tarikh tutup permohonan, dan pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada penghujung Februari 2020, iaitu sebelum pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan yang akan bermula pada 1 Mac 2020.

Sehingga tarikh tersebut, semua pengguna yang dianggarkan berjumlah 1.6 juta akaun yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20-meter padu akan terus menikmati rebet 20-meter padu sehingga 29 Februari 2020.


Pengarang :