Selangorkini
Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) berucap pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan – Dialog Pemimpin 6 mengenai ‘Wawasan 2020-2030’ di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) , pada 26 September 2019. -Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M gamit pelabur di New York

NEW YORK, 27 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pendirian mesra perniagaan Malaysia ketika beliau menggamit pelabur Amerika untuk datang melabur ke negara itu semalam.

“Secara amnya, Malaysia masih Malaysia yang sama sepertimana pada satu masa dahulu yang amat mesra dengan golongan perniagaan, negara yang menggalakkan pelaburan langsung asing dan berkembang pada asas pelaburan seumpama itu,” katanya mengenai negara yang beliau pimpin sebagai perdana menteri buat kali kedua, sejak Mei 2018.

“Ia masih sama walaupun saya tidak lagi berada dalam Barisan Nasional (BN) tetapi idea-idea masih banyak datang daripada saya,” katanya pada sesi perjumpaan dengan ahli Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN dan Dewan Perdagangan AS di sini.

Di samping mesra perniagaan, beliau berkata pelabur boleh menjangkakan sebuah negara yang akan mendengar keperluan sektor swasta.

Dr Mahathir mengambil perhatian bahawa Malaysia mendapat banyak pelaburan daripada luar negara dan berharap lebih banyak pelabur akan turut berbuat demikian.

Malangnya, beliau berkata setiap khabar angin walau sekecil mana pun, akan menyebabkan pelabur menarik diri dan mengheret turun pasaran saham.

“Dan kami perlu pulihkan keadaan itu, dan untuk itu, sudah tentu, kami perlu memberi jaminan kepada semua pihak bahawa Malaysia berada dalam kedudukan untuk pulih,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata dengan lebih banyak pelaburan langsung asing, Malaysia akan dapat pulih dengan lebih cepat.

Perdana menteri turut berkata, Malaysia telah meletakkan semua intrumen yang perlu dan menguruskan kewangannya dengan agak baik.

“Kami fikir kami akan jatuh bankrap tetapi kami tidak bankrap, kami masih ada wang dan masih berkembang pada 4.5 peratus setahun,” katanya.

Sejak menjatuhkan BN daripada berkuasa pada pilihan raya umum pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PAKAYAN) dipimpin Dr Mahathir telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan fiskal negara berada dalam keadaan teratur.

“Sebaik sahaja kami sedar kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu adalah lebih teruk daripada apa yang kami jangkakan. Kerosakan itu bukan sahaja dari sudut kewangan di mana mereka meminjam lebih RM1 trilion tetapi juga jentera kerajaan telah dirosakkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat banyak pihak dalam kerajaan ketika itu terlibat amalan rasuah dan terpaksa diberhentikan.

Dan kini, katanya, situasi ekonomi semakin baik dan kerajaan telah berjaya mengurangkan jumlah wang yang dihutang kepada semua jenis pemberi hutang.

“Tetapi ia masih membebankan kami dan telah menjejaskan keupayaan kami untuk membawa pembangunan dan membina infrastruktur di negara kami,” kata perdana menteri.

Namun, katanya Malaysia bersedia untuk beralih ke cara baharu dalam menjalankan perniagaan yang membabitkan peralatan baharu khususnya dari segi pendidikan yang memerlukan banyak wang, yang negara tidak mempunyai jumlah yang cukup.

– BERNAMA


Pengarang :