Empat unit rumah teres satu tingkat di Jalan Kampung Melayu, Batu Caves, musnah dalam kebakaran, pada 21 September 2019.
EXCOSELANGOR

Bantuan kecemasan buat mangsa kebakaran di Batu Caves

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua akan menyalurkan bantuan kecemasan dalam masa terdekat kepada empat keluarga yang terjejas ekoran kediaman mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam insiden yang membabitkan empat unit kediaman di Jalan Kampung Melayu, Batu Caves, petang semalam.

“Saya turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” tulisnya menerusi hantaran twitternya, semalam.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.

Pihaknya, mengerakkan sepasukan 16 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selang dan BBP Rawang digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal pada jam 2.35 petang,” katanya.


Pengarang :