AGENDANASIONAL

CAEXPO 2019 bantu promosi TMM2020

CHINA, 22 SEPT: Keunikan dan keistimewaan produk Malaysia sehingga mendapat perhatian ribuan pengunjung di Ekspo China ASEAN (Caexpo) 2019 di sini secara tidak langsung turut mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Isham Ishak.

Beliau berkata, pengunjung China dan komuniti ASEAN di ekspo itu juga dilihat amat meminati persembahan tarian kebudayaan yang didatangkan istimewa dari Malaysia.

“Saya lihat CAEXPO 2019 ini adalah satu platform yang dapat membantu menarik pelancong khususnya dari China untuk datang ke Malaysia. Ini secara tidak langsung amat bertepatan dan menyemarakkan lagi usaha kita untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pavillion Malaysia di Caexpo 2019 di sini, hari ini.

Isham berkata, usaha kerajaan memberikan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) untuk pelancong dari China di enam pintu masuk tambahan pada 15 Julai lepas juga menyokong dan menggalakkan ketibaan pelancong ke Malaysia.

Pintu masuk itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan ICQS Sungai Tujoh di Sarawak, Terminal Feri Labuan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (Skypark Subang).

Tempoh keberadaan di Malaysia bagi tujuan melancong turut dilanjutkan sehingga 15 hari berbanding tujuh hari sebelum ini, manakala kadar bayaran visa VOA dikurangkan daripada RM330 kepada RM200.

– BERNAMA


Pengarang :