AGENDANASIONAL

Firma aeroangkasa Malaysia jana potensi eksport RM219 juta di Jepun

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Usaha mempromosikan kemampuan syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia dalam sektor terbabit di Aeromart Nagoya, Jepun baru-baru ini, terbukti mencatat kejayaan besar apabila firma terbabit menjana potensi eksport bernilai lebih RM219 juta.

Ini dicapai menerusi sesi padanan perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melalui pejabat perdagangannya di Jepun.

Misi ke Aeromart Nagoya pada 24-26 September 2019, juga menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia menerima minat positif daripada firma Jepun serta syarikat utama global, kata MATRADE dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara syarikat utama itu adalah Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries, Toyota Tsusho dan Airbus.

Potensi jualan eksport itu membabitkan bidang yang merupakan kepakaran Malaysia seperti komponen pesawat dan pemasangannya, bahagian dan komponen sayap pesawat serta perkhidmatan seperti pendidikan dan latihan penerbangan, sokongan dan penyelesaian penerbangan.

“Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia juga terbabit dalam rundingan projek dengan syarikat-syarikat Jepun yang bernilai RM376.9 juta melibatkan industri seperti pemesinan bahagian enjin, penuangan beracuan, sayap dan bahagian lain pesawat.”

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa menyifatkan Jepun sebagai hab aeroangkasa paling penting di rantau ini dan pasaran tersebut juga berpotensi mewujudkan peluang dan kerjasama rantaian bekalan baharu.

“Nagoya adalah ibu kota Wilayah Aichi Prefecture iaitu kluster industri aeroangkasa terbesar Jepun. Pada masa ini, nilai pengeluaran industri aeroangkasa Jepun adalah AS$20 bilion (RM83.6 bilion) dengan 83 peratus disumbangkan oleh sektor pesawat.

“Ini memaparkan prospek besar untuk syarikat-syarikat Malaysia kerana membolehkan mereka menawarkan produk atau perkhidmatan berkualiti pada harga kompetitif,” katanya.

Misi ke Aeromart Nagoya itu disokong oleh Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) iaitu persatuan yang diwujudkan menerusi fasiliti MATRADE pada 2015.

Pada misi itu, MAIA mengendalikan taklimat mengenai kemampuan industri aeroangkasa Malaysia kepada kalangan pemain industri global bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai sektor itu yang memberangsangkan.

– BERNAMA


Pengarang :