PENDAPATRENCANA

Dari bawah pokok, kini miliki restoran sendiri

Berpegang pada pepatah keramat ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’, beliau secara dalamannya memiliki semangat ingin berjaya yang tinggi untuk menyinar dalam bidang perniagaan.

Walaupun bukan dilahirkan dalam keluarga yang sebati dengan selok-belok perniagaan, namun Arman Daut, 45, bertatih dari bawah berkat sokongan keluarga tercinta dan sahabat handai. Jatuh dan bangun menjadi makanannya.

Bermula sebagai penjual nasi beriani gam di lot parkir di Seksyen 19, Shah Alam, anak jati Batu Pahat ini kemudiannya beralih kepada gerai bawah pokok tepi jalan di Alam Megah, Seksyen 28, pada penghujung 2017.

Namun, siapa sangka kesungguhan dan keikhlasan dalam mencari rezeki halal akhirnya berbalas apabila gerai dibuka dengan modal kecil berkembang pantas.

Kini, beliau mampu tersenyum lega selepas impian untuk memiliki restoran sendiri tercapai dalam tempoh singkat. Lebih menarik apabila kejayaan itu diperoleh tanpa pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan.

Restoran Beriani Gam KawW Batu Pahat terletak di Putra Heights, Subang Jaya, memulakan operasi pada awal Januari lalu dengan menyajikan bukan sahaja nasi beriani, malahan aneka juadah lain, di samping menawarkan perkhidmatan katering.

Mungkin dalam pengamatan masyarakat umum, perjalanan perniagaan dilalui bapa kepada tujuh anak ini seakan-akan senang, namun hakikatnya tidak semudah yang disangkakan.

Mana tidaknya, seorang jurutera enjin yang mempunyai kepakaran lebih 20 tahun di salah sebuah syarikat automotif tetapi membuat percaturan menukar profesion sepenuhnya demi melebarkan sayap perniagaan nasi beriani gam.

“Memandangkan saya seorang penggemar nasi beriani, sampai satu tahap saya kerap belanja rakan sekerja di kilang Proton untuk merasainya dengan kaedah memanggil tukang masak nasi beriani terkenal di Batu Pahat iaitu anak saudara, Mohd Syah.

“Selepas beberapa kali membuat tempahan daripada dia, semua kawan puji dengan rasa dan kelazatan nasi beriani.

“Beberapa tahun kemudian, saya bertekad untuk berhenti daripada bekerja di kilang Proton dan mula belajar memasak nasi beriani di Batu Pahat. Sejak dari situ, saya mula jual nasi beriani di Seksyen 19, tetapi hanya bertahan kira-kira tiga minggu sahaja sebelum berniaga di Alam Megah,” katanya mengimbau titik mula menapak dalam dunia perniagaan.

Akui Arman, sepanjang menjalankan perniagaan di gerai bawah pokok, ramai kenalan rapat di tempat kerja termasuk rakan seperjuangan ketika zaman belajar datang ke gerainya.

“Malah, hasil jualan pada ketika itu juga agak memberangsangkan sebab saya hanya meniaga di tepi jalan, jadi tidak perlu membayar apa-apa sewa.

“Selama lebih kurang 14 bulan meniaga di gerai bawah pokok, saya berkira-kira untuk membuka restoran dan mula membuat perancangan untuk mengambil alih restoran yang saya miliki sekarang ini (dahulunya restoran Mr Food).

“Selepas mendapat persetujuan bersama, saya terus mengambil alih dan sedia memulakan operasi restoran dengan hidangan beriani, asam pedas dan makanan barat,” katanya yang enggan mendedahkan nilai belian restoran terbabit.

Arman berkata, sebelum mahir berkenaan perihal restoran, pelbagai suka duka ditempuhinya, namun benar pepatah ‘alah bisa tegal biasa’.

“Ketika di peringkat awal pembukaan restoran, antara cabaran paling berat perlu saya hadapi ialah kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang benar-betul boleh bekerja.

“Ada pekerja kadang-kadang bermasalah, terutama daripada aspek disiplin. Mereka kerap tak datang dan ada juga yang lari tanpa khabar berita. Jadi, kita rasa tergugat sebab ada yang lari dan bekerja di restoran lain,” katanya.

Kekal kualiti beriani pikat pelanggan

Arman berkata, bagi memikat citarasa pelanggan, beliau akan cuba sedaya upaya mengekalkan kualiti dan keaslian beriani walaupun kos penyediaannya lebih mahal berbanding masakan lain.

“Proses penyediaan nasi beriani mengambil sedikit masa dan terdapat lebih 30 bahan digunakan untuk memasaknya.

“Justeru, bagi memudahkan pekerja, saya menetapkan sukatan khusus yang perlu dipatuhi mereka supaya rasa itu kekal. Misalnya, untuk memasak 10 kilogram (kg) kambing, kuantiti bawang haruslah 500 gram (g) sahaja dan tidak kurang atau terlebih. Nanti rasa itu akan berubah.

“Saya juga menggunakan rempah yang dibeli khas dari Batu Pahat dan pengusaha akan membuat penghantaran pos setiap dua bulan sekali,” katanya.

Menuju ke hadapan, Arman menyasarkan untuk melebarkan perniagaan melalui medium dalam talian yang dilihat mampu menjana pulangan lebih besar.

“Buat masa ini, saya hanya promosikan di Facebook dan aplikasi Whatsapp sahaja. Jika ada kawan-kawan datang, mereka akan merakam gambar dan memuat naik di Facebook mereka. Dari situ, kenalan mereka yang lain juga akan tahu dan datang ke sini.

“Malah, saya berhasrat untuk memasarkan menu di restoran ini secara dalam talian seperti Food Panda dan Grab Food. Namun, masih merancang ke arah itu memandangkan pelanggan semakin hari semakin ramai.

“Tetapi, pada masa sama, saya akan memperkukuh strategi pemasaran sehingga pulangan meningkat,” katanya yang berazam untuk membuka cawangan lain pada masa hadapan.

Tawar promosi ‘gila’

Beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam, Arman berkata, Restoran Beriani Gam KawW Batu Pahat menawarkan promosi ‘gila’ kepada pelanggan setiap hari dengan harga yang cukup berbaloi.

“Menu utama di restoran ini pastinya nasi beriani. Untuk promosi berkenaan, nasi beriani ayam dan kambing dijual pada harga RM9.90, manakala nasi beriani kambing campur ayam atau nasi beriani ‘double’ kambing berharga RM15.80.

“Promosi ini dijalankan setiap hari dan mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Jika pergi ke sekitar Lembah Klang lain, tiada restoran yang sanggup jual harga serendah ini,” katanya.

Dengan kekuatan enam pekerja, Restoran Beriani KawW Batu Pahat turut menyajikan hidangan sampingan lain seperti asam pedas (mayong, tenggiri, parang); nasi beriani (chicken grill, lambgrill, chicken chop); mee bandung muar, mee rebus jaybee dan sup tulang.

INFO
Lokasi: 8G, Jalan Putra Mahkota 7/6A Putra Point Commercial Centre, Putra Heights, 47650 Subang Jaya, Selangor
Nombor Telefon: 019-2932411
Facebook: Arman Bin Daut
Waktu Operasi: 10 pagi – 10 malam
Perkhidmatan: Penghantaran tempahan minima 20 bungkus, majlis keramaian dan rumah terbuka


Pengarang :