AGENDANASIONAL

Jangan biar hubungan harmoni diancam polarisasi kaum

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Seorang aktivis sosial menyeru rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan hubungan harmoni di kalangan pelbagai kaum diancam oleh polarisasi kaum yang terus menjadi isu utama di negara ini.

Ketika menyatakan demikian pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keperluan untuk mengukuhkan keharmonian sosial dan perpaduan menjadi bertambah penting sekarang berbanding sebelum ini dan menambah bahawa isu ini boleh menjurus kepada percanggahan kaum dan kurang kesefahaman di kalangan masyarakat.

“Rakyat Malaysia mesti menentang ketaksuban agama dan ekstremisme kaum dan sebaliknya berpegang kepada kesederhanaan. Masyarakat harus memberi perhatian serius kepada konsep perpaduan dan kebersamaan berdasarkan nilai-nilai murni dan integriti yang diajar dalam semua agama,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Menurut Lee, kepelbagaian dalam Malaysia adalah aset yang harus dibanggakan oleh negara dan semua orang dapat melihat kelebihan dan keindahan dalam kepelbagaian ini.

“Rakyat Malaysia di Semenanjung perlu belajar daripada mereka di Sabah dan Sarawak tentang cara hidup dengan harmoni manakala rakyat Malaysia di bumi kenyalang dan negeri di bawah bayu itu perlu terus menyokong integrasi sosial negara supaya kemajuan lestari dapat diteruskan untuk faedah semua orang,” kata aktivis sosial terkemuka itu.

Lee berkata, sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia mampu mengatasi sebarang cabaran jika rakyatnya bersatu dan bersama-sama menanganinya.

“Oleh itu rakyat Malaysia tidak harus mengendalikan sebarang itu secara beremosi, tetapi sebaliknya hendaklah menghadapinya dengan kematangan, kesederhanaan dan saling faham memahami bagi mencari titik persamaan menerusi dialog dan persetujuan bersama.

“Kita harus memperbaharui rasa cinta kepada negara dan membantu menyokong resolusi negara untuk meningkatkan identitinya di arena antarabangsa. Apabila kita meraikan Hari Malaysia esok, semua rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menjadikan negara ini lebih bersatu dan makmur,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang bertema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ akan diadakan esok di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Diadakan buat pertama kalinya di Sarawak sejak kerajaan Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan pada Mei 2018, sambutan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

– BERNAMA


Pengarang :