AGENSISELANGOR

KDEBWM diiktiraf Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal Terbaik

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) sekali lagi menempa sejarah apabila menerima Anugerah Prominent BestBrands 2019 oleh The Brand Laureate, semalam.

Anugerah berkenaan diterima melalui kategori Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal Terbaik yang berlangsung di Grand Ballroom, The Majestic Kuala Lumpur.

Ketua Media dan Perhubungan Awamnya, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, pengiktirafan itu julung kali diterima KDEBWM atas kejayaan menguruskan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor.

“Pengikitirafan ini adalah tinggi terhadap kualiti perkhidmatan yang dijalankan berharap menjadi pemangkin untuk kami terus komited dalam memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam terbaik kepada rakyat Selangor.

“KDEBWM juga berharap dapat memperkembangkan perkhidmatan di seluruh Malaysia dan seterusnya antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam majlis itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir hadir menerima pengiktirafan yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Asia Pacific Brands Foundation, Tan Sri Rainer Althoff dan Presidennya, Dr KK Johan.

KDEBWM adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai ‘Project Management Company’ untuk mengutip sisa pepejal dan melakukan pembersihan awam di Selangor secara berperingkat.

Syarikat itu pernah memenangi Anugerah Amalan Baik Asia Pasifik Frost & Sullivan 2019 bagi kategori ‘Smart Waste Solutions Company Of The Year’.


Pengarang :