Tan Sri Dr Kamal Mat Salih pada Dialog Bajet 2020 Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Hotel Concorde, Shah Alam. ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lonjak industi teknologi tinggi untuk bersaing dengan kuasa besar

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor perlu melonjak ke arah perindustrian berasaskan teknologi tinggi dan inovasi jika ingin bersaing dengan kuasa-kuasa besar lain di peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Mat Salih berkata, kegagalan melakukan lonjakan tersebut akan menjejaskan banyak perkara termasuk jumlah pendapatan rakyat.

Katanya, Selangor juga perlu memberi perhatian ke atas kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China untuk jangka pendek atau panjang.

“Untuk jangka masa pendek (perang dagangan) tidak memberi impak buruk atau baik yang mendadak kerana kedua-dua (negara) rakan dagangan kita.

“Jangka masa panjang pula bakal membabitkan industri pembinaan dan pembuatan. Seluruh negara mungkin mendapat faedah.

“Kita perlu berhati-hati. Selangor perlu tonjolkan aspek keterhubungan dan kemahiran kerana tahap persaingan kini sangat bergantung kepada kemahiran.

“Jika kita tidak dapat melonjakkan perindustrian baharu berasakan inovasi, kita tidak dapat bersaing dan tidak dapat melonjakkan gaji rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog Bajet 2020 Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Hotel Concorde.

Katanya, Selangor perlu membuat persediaan rapi walaupun mempunyai perkembangan ekonomi yang baik kerana ia akan menerima tempias besar jika berhadapan kemelesetan.

Beliau berkata, aspek kemiskinan bandar, kualiti kesihatan, jaringan internet, perkhimatan kereta api berkelajuan tinggi dan revolusi industri 4.0 juga perlu diberikan perhatian dalam usaha untuk terus bersaing.


Pengarang :