AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ketuai delegasi bertemu konglomerat teknologi Asia di China

SHAH ALAM, 3 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengetuai delegasi Kerajaan Selangor bertemu konglomerat bagi sektor rangkaian sosial dan permainan terbesar Asia, Tencent Holdings, di Shenzen China bermula semalam.

Amirudin berkata, syarikat multinasional gergasi itu memegang pelaburan utama di negara berkenaan sejak mula ditubuhkan pada 1998.

Katanya, ia adalah syarikat pertama di Asia yang berjaya mencatat nilai syarikat tertinggi mencecah USD 500 bilion dengan memberi pengkhususan terhadap sektor rangkaian sosial, pembayaran digital, hiburan, kecerdasan dan teknologi.

“Melalui pertemuan ini, delegasi Kerajaan Selangor turut mengadakan perbincangan dengan wakil Tencent Holdings iaitu Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Ian Chan.

“Kami berbincang berhubung peluang untuk Tencent mengembangkan lagi operasi di Selangor, khususnya melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

“Peluang ini juga membolehkan Kerajaan Selangor meneroka bidang berkaitan, sekali gus menjayakan misi ke arah Negeri Pintar di Asia Tenggara,” katanya.

Turut sama pada delegasi itu ialah EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim dan Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Tencent Holdings salah sebuah syarikat teknologi yang berjaya meningkat naik selain Facebook dan Alibaba ekoran berjaya mencatat nilai syarikat lebih tinggi.

Mula diperkenalkan sejak dua dekad lalu, syarikat ini mula menjadi perhatian pelabur selepas mula memasuki Initial Public Offering (IPO) atau saham terbitan awam terlebih dahulu, pada 2004.

Berdasarkan jumlah pelaburan tinggi, Tencent berjaya memperkenalkan QQ, TencentPay dan WeChat sekali gus menjadi aplikasi permesejan terunggul di China.

Salah satu faktor utama kebangkitan Tencent apabila syarikat itu berjaya menguasai saham Supercell, syarikat bagi game Clash of Clans dan Clash Royale, selain turut memegang saham Barclays dan Tesla.


Pengarang :