AGENSISELANGOR

MB ucap takziah kepada keluarga pemain bola sepak mendiang Chandran

SHAH ALAM, 28 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas kapten dan jurulatih kebangsaan, Datuk M Chandran yang meninggal dunia, pagi tadi.

Menerusi ciapan di Twitter, beliau menyifatkan lagenda bola sepak Malaysia dan Selangor itu sebagai pemain pertahanan yang disegani seluruh peminat sukan berkenaan.

“Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang Datuk M Chandran atas pemergian beliau pagi ini.

“Datuk M Chandran merupakan seorang lagenda bola sepak Selangor serta salah seorang pemain pasukan bola sepak kebangsaan di Sukan Olimpik Munich 1972. Pemain pertahanan yang disegani,” tulisnya.

Chandran yang pernah menganggotai skuad Olimpik 1972 di Munich dilaporkan meninggal dunia pada usia 77 tahun di rumahnya di Ampang Jaya, Selangor, jam 7.30 pagi tadi.

Chandran yang dilahirkan di Sungai Siput, Perak pada 1942 meninggalkan balu, Datin Pushtalata serta dua anak lelaki, C Kumarason dan C Vicnaraj, masing-masing berusia 38 dan 36 tahun.

Sebelum ini, mendiang dilaporkan berada dalam keadaan uzur di kediamannya akibat jangkitan paru-paru serius dan turut dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Aktif dalam bola sepak awal 1960-an sehingga dapat mewakili skuad negara sebanyak 163 kali membabitkan perlawanan antarabangsa, mendiang adalah seorang pemain pertahanan dihormati di peringkat Asia.

Kemuncak kariernya adalah dipilih menjadi kapten skuad negara dalam kelayakan Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman apabila menewaskan Korea Selatan dan Jepun serta memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran.

Mendiang disemadikan di Sentul Cremation Ground, berdekatan kuil Athi Eswaran jam 5 petang tadi.


Pengarang :