AGENDANASIONAL

MB zahir takziah pemergian Dr Md Farid

SHAH ALAM, 21 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, yang meninggal dunia sekitar jam 6 pagi tadi.

Amirudin melalui Twitter memaklumkan, beliau turut berdukacita di atas pemergian Allahyarham yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Katanya, ucapan takziah turut dizahirkan kepada rakan Allahyarham dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Menerima berita dukacita pemergian Allahyarham YB (Yang Berhormat) Dr Mohamed Farid Md Rafik.

“Takziah kepada keluarga beliau dan rakan di parti BERSATU. Semoga rohnya dicururi rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulisnya di Twitter.

Dr Md Farid, 42, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia di Hospital Pontian dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham memenangi kerusi parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.


Pengarang :