AGENDANASIONAL

Penggabungan UMT, UniSZA wujudkan pusat rujukan global

 

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mewujudkan sinergi bagi menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang khusus dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Matlamat ini akan tercapai jika penstrukturan dilakukan dan sebuah universiti yang lebih besar dapat diwujudkan dengan profesor yang lebih banyak dan kelengkapan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan di Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Maszlee berkata kursus yang sepatutnya menjadi ‘niche’ atau khusus dan rujukan peringkat antarabangsa di UMT dan di UniSZA tidak berlaku sekarang, umpamanya di UMT di mana kursus maritim yang disasarkan menjadi pusat sumber rujukan maritim di ASEAN dan Asia Tengah tidak berlaku kerana sibuk dengan kursus-kursus lain.

Beliau berkata pencapaian UMT berbanding universiti-universiti lain agak tidak begitu memuaskan malah menduduki tempat kedua terbawah sebelum ini dengan tahap kebolehpasaran graduan rendah.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi baru-baru ini, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA. Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 Sept lepas.

Langkah penggabungan itu bagaimanapun mendapat bantahan termasuk pelajar UMT dan UniSZA. UMT yang terletak berhampiran dengan UniSZA mempunyai kira-kira 11,000 pelajar manakala UniSZA kira-kira 12,262 pelajar.

Menurut Maszlee, ketika isu UMT dan UniSZA dibincangkan di Kabinet, Jemaah Menteri mencadangkan agar kedua-dua universiti itu disinergikan seperti yang dilakukan di Norway, Finland, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Susulan itu, katanya Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa yang terbabit dalam libat urus dengan pemegang taruh dan melihat potensi dari sudut yang pelbagai mengenai penggabungan itu untuk dibawa hasil kajian ke Kabinet dan diluluskan secara prinsip.

“Kajian awal yang dilakukan di peringkat KPM mendapati banyak unsur positif (penggabungan) cuma yang perlu diuruskan ialah pelan komunikasi, struktur serta kursus yang bertindih,” katanya.

Maszlee berkata KPM sudah membuat libat urus dengan Jepun, China dan United Kingdom, dan negara luar akan datang menjadi rakan strategik dalam melonjakkan pendidikan Malaysia apabila penggabungan itu berlaku kelak.

-BERNAMA


Pengarang :