BERITA UTAMA

Produk Halal Malaysia dapat permintaan tinggi di India

BENGALURU, 2 SEPT: Produk halal Malaysia, terutama barangan kosmetik dan penjagaan peribadi mendapat permintaan tinggi di India walaupun pertumbuhan jualan perlahan pada 2018, kata Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC).

Pengurus Bahagian Antarabangsanya, Mohammad Shukur Sugumaran berkata, pengimport India menunjukkan minat tinggi untuk mendapatkan produk itu dari Malaysia ekoran kesedaran yang semakin meningkat untuk mencari produk bersih, organik, sihat dan selamat, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Permintaan amat besar di India sekarang, dan bukan hanya datang daripada orang Islam tetapi daripada bukan Islam,” katanya kepada Bernama di luar acara Global Halal India Expo 2019 di sini, semalam.

Perangkaan daripada HDC Halal Datawarehouse System menunjukkan eksport halal ke India meningkat 12 peratus kepada RM1.59 bilion, pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, eksport produk kosmetik dan penjagaan peribadi halal susut kepada RM166.0 juta pada 2018 daripada RM172.93 juta.

Selain daripada produk kosmetik dan penjagaan peribadi, Mohammad Shukur, yang bertemu beberapa pengimport India bersempena dengan ekspo tiga hari itu di sini mendedahkan bahawa fesyen sederhana bercirikan Islam juga adalah produk yang semakin mendapat perhatian pengimport.

“Saya dimaklumkan bahawa semakin ramai generasi muda Muslim berminat untuk berpakaian mengikut cara Islam, iaitu bersederhana, tetapi dalam masa yang sama masih kekal moden,” katanya.

Selain itu, katanya, makanan dan minuman halal kekal sebagai produk pilihan dalam pasaran India, meskipun peraturan pelabelan ketat yang dikenakan oleh badan kawal selia makanan negara terbabit, Food Safety and Standards Authority of India (FSSAI).

“Banyak produk makanan dan minuman Malaysia seperti biskut Hup Seng, sos cili Limgham dan makanan ringan Miaow Miaow mendapat sambutan baik di India,” katanya.

Produk halal lain seperti coklat, barangan dandanan diri, produk bayi, produk penjagaan kebersihan wanita, pakaian sukan Muslimah dan perabot bukan daripada kulit babi juga mendapat permintaan besar di negara itu, katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffien Sahari berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 180 juta penduduk Islam di India, yang kedua terbesar selepas Indonesia.

“Ditambah dengan lonjakan industri e-dagang di negara ini, syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk memanfaatkan negara yang memiliki antara jumlah penduduk paling padat di dunia ini,” katanya.

Hairol Ariffien yang memetik perangkaan daripada sumber utama maklumat mengenai industri halal, Salaam Gateway, berkata sejumlah US$43 bilion barangan kosmetik dijual di India pada 2015 dengan kira-kira US$4.2 bilion daripadanya membabitkan jualan kepada 180 juta orang Islam di negara itu.

“Kosmetik diperakui halal pada awalnya disasarkan kepada komuniti Islam, tetapi permintaan daripada pengguna bukan Islam juga semakin meningkat,” katanya.

Edisi kedua Global Halal India Expo 2019 yang berlangsung selama tiga hari yang berakhir Ahad, menarik penyertaan profesional industri seperti suruhanjaya perdagangan dan dewan perniagaan Islam India, pengimport, pengedar, pembeli, pengunjung serta agensi dan organisasi berkaitan halal.

-BERNAMA


Pengarang :