Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program khas tukar lesen memandu Malaysia

PUTRAJAYA, 4 SEPT: Peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara asing akan diberi kelulusan khas untuk membuat pertukaran lesen memandu di Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata pertukaran lesen memandu khas tersebut akan diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan peraturan yang ditetapkan antaranya individu berkenaan harus mempunyai lesen penuh memandu negara asal yang masih sah dan berkuatkuasa.

“Lesen memandu asal mereka akan ditukarkan kepada lesen percubaan (lesen P) di Malaysia untuk tempoh percubaan selama dua tahun dan mereka diwajibkan untuk memenuhi semua syarat-syarat yang sama dikenakan kepada pemegang lesen P yang lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ia adalah untuk memastikan individu berkenaan mempunyai kompentensi untuk memandu dan mendidik mereka untuk mematuhi semua peraturan jalan raya di negara ini serta mengambil kira bahawa budaya pemanduan adalah berbeza di antara negara terutamanya pemanduan kenderaan sebelah kiri, katanya.

Bagi peserta atau warganegara Malaysia yang diberikan lesen memandu dalam kalangan negara bukan penjanji kepada sebarang triti atau perjanjian dengan Malaysia, Loke berkata mereka akan diwajibkan untuk menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja.

“Perkara ini amat diperlukan bagi memastikan tahap pemahaman mereka ke atas undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini mungkin berbeza dengan negara berkenaan,” katanya.

Bagi peserta MM2H, Loke berkata lesen memandu mereka akan dibatalkan sekiranya didapati melanggar mana-mana syarat program, telah dibatalkan dari program MM2H dan didapati bersalah melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini.

Loke berkata garis panduan, keperluan dokumen dan perincian pelaksanaan dasar itu kini sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh dua bulan.

“Kita menyasarkan dasar ini dapat dikuatkuasakan seawal November, maka JPJ mempunyai tempoh dua bulan untuk melakukan segala pindaan terhadap garis panduan dan memperincikan sebarang syarat yang diperlukan bagi memudahkan semua pihak yang ingin mendapatkan kemudahan ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :