Barisan pelakon Dendam Pontianak bergambar bersama pada tayangan perdana filem berkenaan di MM Cineplex Damansara, pada 3 September lalu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BUDAYARENCANA

‘Pontianak cantik’ hantui pawagam 12 September

DAMANSARA, 5 SEPT: Filem Dendam Pontianak yang pertama kali menggandingkan Nur Fazura dan Remy Ishak di layar perak bakal menemui penonton mulai 12 September ini.

Naskah arahan Glen Goei dan Gayin Yap itu mengisahkan kehidupan sepasang suami isteri yang baru berkahwin dan diganggu sehingga memaksa mereka terjerumus ke lembah pengkhianatan, ilmu hitam dan pembunuhan.

Menariknya watak pontianak yang ditonjolkan tidak tipikal dengan memakai baju putih dan berambut panjang, sebaliknya berkebaya merah dan dihias cantik.

Nur Fazura yang ditemui ketika tayangan perdana filem berkenaan di MM Cineplex di sini berkata, wataknya memaparkan kekuatan wanita dalam menuntut keadilan.

“Apabila saya terima tawaran untuk bekerja dengan pengarah ini, saya dapati hasilnya mengagumkan.

“Kisah cinta yang tidak kesampaian pasti membuatkan penonton mempunyai perasaan bercampur baur antara sedih dan seram,” katanya.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu turut berbesar hati bergandingan bersama Remy yang juga nama besar dalam industri lakonan.

Sementara itu, Gavin berharap filem itu dapat memperkenalkan semula kisah pontianak kepada generasi baru yang kini lebih terbuka menonton filem di pawagam.

“Filem ini dapat menggalakkan penonton untuk menonton kembali filem klasik terdahulu yang seram,” katanya.

Dendam Pontianak menceritakan kisah Khalid (Remy) dan Siti (Shenty) membuat persiapan hari pernikahan mereka.

Namun, anasir jahat mula menyelubungi kampung itu apabila berlaku kematian dan kejadian misteri.

Filem terbitan Tiger Tiger Pictures turut menampilkan Nam Ron, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su dan Hisyam Hamid.


Pengarang :