AGENDANASIONAL

Rusuhan bola: FAM kemuka laporan kepada FIFA, AFC

SHAH ALAM, 6 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan laporan kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung insiden serangan yang berlaku ke atas penyokong Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia semalam.

FAM dalam kenyataannya kesal dengan gangguan penyokong pada perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, yang menyaksikan Malaysia bangkit menewaskan Indonesia, 2-3.

“’Fairplay’ dan professionalism telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara, tetapi perlawanan dicemari oleh insiden di luar padang.

“FAM anggap negara jiran kita, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), melalui pihak berkuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang telah berlaku justeru gagal mengotakan janji yang diberikan mereka secara umum untuk perlawanan ini.

“Mereka juga gagal mengawal sikap penyokong sepanjang perlawanan, ketika serta selepas perlawanan berlangsung sekali gus mencemarkan imej bola sepak Indonesia,” katanya.

Katanya, penyokong Malaysia secara umumnya dilihat bertindak balas secara positif malam tadi dan tidak mengikut sebarang provokasi.

FAM turut menasihatkan penyokong tempatan untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke Malaysia sama ada peminat Indonesia, UAE, Thailand atau Vietnam pada semua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional nanti.

“Tidak ada tempat dalam sukan bola sepak untuk gejala hooliganisme dan gangsterisme dan oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan dan sedang mengumpul bukti kukuh bagi melaporkan kejadian semalam kepada FIFA dan AFC.

“Justeru, bagi penyokong Malaysia yang masih berada di Indonesia, kami mendoakan keselamatan anda di sana dan moga selamat pulang ke Malaysia.

“Terima kasih atas sokongan padu anda terhadap skuad kebangsaan, Harimau Malaya dan kami juga menggesa anda untuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia,” katanya.


Pengarang :