Exco Kerajaan Negeri Selangor Hee Loy Sian (tiga, kiri) bercakap kepada media selepas Program Kebunku Geran Kecil Teknologi Hijau Tahun 2019 di SJKC Bandar Sungai Long, Kajang pada 28 September 2019.-FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOPBTSELANGOR

Tanggungjawab kutip caj beg plastik akan diserah kepada PBT

KAJANG, 28 SEPT: Kerajaan Selangor akan menyerahkan tanggungjawab mengutip duit pembelian beg plastik sebanyak 20 sen di semua kedai dan pasaraya di negeri ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing, bermula tahun depan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bulan depan.

Katanya, kertas kerja telahpun disiapkan sepenuhnya sebelum ia dibentangkan kepada barisan EXCO Selangor.

“Langkah ini terpaksa diambil apabila Kerajaan Negeri melihat ada pasaraya yang culas dan tidak melaksanakan kempen bebas plastik ini dengan bersungguh-sungguh.

“Saya juga dapat laporan, ada segelintir pasaraya yang memberi pelanggan lebih dari satu beg plastik sedangkan hanya 20 sen sahaja yang dibayar, dipercayai mereka berbuat demikian kerana tidak mahu dimarahi pelanggan.

“Pada masa sama, ada pasaraya yang tidak menggunakan wang kutipan 20 sen itu dengan sewajarnya, hakikatnya sebelum itu mereka berjanji untuk mengadakan program berkenaan alam sekitar, namun mengecewakan apabila ada yang tidak berbuat seperti dijanjikan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kebunku Geran Kecil Teknologi Hijau 2019 anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sungai Long, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, Kerajaan Selangor tidak pernah berhasrat untuk menaikkan kadar bayaran beg plastik yang kini berjumlah 20 sen untuk setiap satunya.

“Tidak ada gunanya jika kita naikkan caj tetapi masyarakat tetap bayar, sebolehnya sasaran kami ialah tidak ada langsung penduduk yang membeli beg plastik dan biarlah pembelian ini berkurangan.

“Sekiranya pembelian beg plastik kurang, maka secara automatik kita tahu kempen bebas plastik menjelang 2025 di Selangor akan berjaya,” katanya.

Terdahulu, Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan pada setiap Sabtu.

Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena serta perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang diminta.


Pengarang :