AGENDANASIONAL

Tiada lanjutan tempoh pelaksanaan PKPS – Lim

BUTTERWORTH, 29 SEPT: Kementerian Kewangan menasihatkan pembayar cukai yang ingin mengisytihar pendapatan secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) untuk berbuat demikian pada hari terakhir esok, bagi mengelak penalti yang tinggi.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata ini kerana pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh program itu.

“Mereka yang laporkan cukai yang mereka lupa lapor atau tidak lapor sama ada sengaja atau tidak, hari esok adalah hari terakhir. Kita harap semua boleh gunakan kesempatan ini kerana tidak ada lanjutan.

“Sungguh pun tak diluluskan kerana proses mungkin akan mengambil masa dua minggu ke satu bulan, asalkan mereka bentangkan pada hari esok pun akan dikira sah laku kerana dilaporkan pada 30 Sept iaitu pada hari terakhir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya, ‘Drive Safe With Us’ anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini, hari ini.

PKPS yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 bertujuan memberi peluang kedua kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk membuat pembetulan pelaporan cukai mereka dengan menawarkan kadar penalti rendah iaitu hanya 15 peratus bagi fasa kedua program itu.

Mengenai cadangan penggunaan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata beliau akan membuat kenyataan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan itu.

“Ini boleh rujuk kepada KPDNHEP. Lepas kenyataan dibuat secara rasmi di mana tak ada persoalan baru saya komen. Sungguhpun saya boleh jawab tapi tak eloklah,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen dalam temubual bersama Sin Chew Daily memaklumkan kerajaan bercadang menggunakan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95.

Menurutnya, hanya golongan dalam kategori B40 dengan bil elektrik bulanan antara RM100 dan RM200, layak mendapat subsidi itu.

Pelaksanaan program itu antara janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kemudian dibentangkan pada Belanjawan 2019, November tahun lepas.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

-BERNAMA


Pengarang :