Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) berucap pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan – Dialog Pemimpin 6 mengenai ‘Wawasan 2020-2030’ di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) , pada 26 September 2019. -Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Tun M ketengah usaha Malaysia dalam pemuliharaan

NEW YORK, 27 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia mengambil komitmen terhadap pemuliharaan secara serius dan bangga menjadi penandatangan kepada senarai penuh perjanjian global mengenai pemuliharaan, hidupan liar, perhutanan dan alam sekitar.

Perdana Menteri Malaysia berkata, negara turut melihat perjanjian alam sekitar pelbagai hala sebagai sebahagian utama formula keseimbangan dari segi tanggungjawabnya terhadap planet ini dan penduduknya bagi menjamin hak mereka untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia juga memegang janji alam sekitar termasuk yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada 1992 yang mana ia komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah besarnya dilitupi oleh hutan.

“Hari ini, hampir tiga dekad kemudian, saya bangga untuk mengumumkan bahawa kita tidak mengingkari ikrar itu. Sebanyak 55.3 peratus atau 18.3 juta hektar daripada bumi Malaysia diliputi hutan, melebihi komitmen awal Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio.

“Ini mewakili kehendak dan komitmen negara untuk memulihara dan menguruskan hutan kami, flora dan faunanya,” katanya pada program ‘Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua’, acara sampingan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Dr Mahathir berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi dan proses urbanisasi yang pesat di Malaysia, mengekalkan hutan dan menjadikan tanah pertanian sedia ada lebih produktif dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat, tidak dapat dicapai tanpa mengguna pakai dasar pragmatik, progresif dan pembangunan mampan.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencegah kehilangan alam sekitar, negara itu masih berhadapan dengan cabaran daripada keperluan pembangunan sosioekonomi yang semakin meningkat.

“Pertambahan penduduk Malaysia membawa kepada peningkatan keperluan makanan, air dan infrastruktur lain yang memberi tekanan kepada sumber dan alam semula jadi kami,” katanya.

Dr Mahathir turut mengetengahkan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) iaitu sumber yang banyak diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai tindakan bagi menangani perubahan iklim serta mempertingkatkan usaha pemuliharaan dan pemulihan.

Malaysia adalah penganjur utama program itu dengan sokongan daripada Pakistan, Turki dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB.

– BERNAMA


Pengarang :