Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain bersama Mohd. Shahzihan Ahmad melihat komputer riba yang diserahkan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Riba dan LCD Projektor Kepada Sekolah Rendah Agama JAIS di Bangunan PKNS, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

44 SRA JAIS terima komputer riba dan LCD projektor

SHAH ALAM, 18 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyampaikan sumbangan komputer riba dan LCD projektor kepada 44 sekolah rendah agama (SRA) di bawah kelolan Jabatan Agama Islam (JAIS) bernilai RM198,000.

Penerima dari daerah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat itu masing-masing menerima sumbangan komputer riba dan LCD projektor bernilai RM4,500.

Sumbangan itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain kepada Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad pada Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Riba Dan LCD Projektor Kepada Sekolah Rendah Agama JAIS di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS.

Mohd Azizi berkata, sumbangan itu sebahagian daripada peruntukan wakalah 3/8 agihan zakat bagi membantu melancarkan proses pembelajaran di SRA terpilih di sekitar Selangor.

“PKNS amat menitikberatkan kualiti pendudukan rakyat di Selangor bagi melahirkan generasi unggul serta berjaya di dunia dan akhirat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan membeli hartanah dan produk dikeluarkan PKNS yang dikembalikan untuk membantu pelajar.

“Kita berasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan supaya dapat manfaat kepada pelajar. Tanpa kemudahan terkini ia akan membantutkan proses pembelajaran mereka, justeru diharapkan pelajar akan mendapat pencapaian cemerlang selepas ini,” katanya.

PKNS mula bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan JAIS sejak 2013 antaranya menerusi program baik pulih kompleks pendidikan Islam JAIS, penyaluran set alat pembesar suara mudah alih serta bantuan kewangan pelajar.


Pengarang :