AGENDA NASIONAL

Ahli Parlimen Nibong Tebal semakin pulih

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman yang rebah ketika berbahas di Parlimen semalam, dinasihatkan oleh doktor untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Pengarah Komunikasi PKR Nibong Tebal Mohd Fitri Ibrahim memaklumkan ahli Parlimen itu yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih.

“Alhamdulillah, Datuk Mansor sihat dan kini mendapat rawatan di IJN. Beliau dinasihatkan oleh doktor untuk mendapatkan rehat secukupnya.

“Beliau juga mengucapkan terima kasih atas doa dan keprihatinan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Fitri turut berkongsi foto terkini Mansor yang kelihatan sihat dan ceria.

Petang semalam, sesi perbahasan Dewan Rakyat dihentikan sebentar susulan Mansor rebah semasa sedang berbahas.

Rawatan awal di klinik Parlimen mengesahkan Mansor mengalami ‘Syncopal Attack’ iaitu sedikit penurunan tekanan darah yang menyebabkan beliau jatuh pitam.

-BERNAMA


Pengarang :