AGENSISELANGOR

Air Selangor sahkan air berbau selamat digunakan

SHAH ALAM, 3 OKT: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan 842 kes daripada 952 aduan air berbau di 18 kawasan selamat digunakan pengguna.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, kesemua aduan terbabit diterima pihaknya sejak 29 September lalu hingga hari ini.

Katanya, pemantauan dan tindakan berterusan juga terus dipergiat sehingga semua kes dan aduan air berbau tiada lagi.

“Berdasarkan ujian pensampelan ditapak, air yang dibekalkan adalah selamat di gunakan dan mematuhi piawaian kualiti air Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak kami akan menjalankan pemeriksaan dan ujian kualiti air bagi baki 110 kes yang diadukan.

“Sehingga kini, sembilan kolam perkhidmatan telah dicuci dan Air Selangor juga akan meneruskan aktiviti pencucian sistem perpaipan, kolam serta sistem agihan di kawasan aduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kawasan aduan meliputi Aman Putra, Bukit Puchong, Kota Warisan, Putra Impiana, Putra Perdana, Putrajaya Presint 11, Salak Tinggi, Taman Intan Baiduri dan Taman Mawar Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang.

Selain itu, di Petaling membabitkan kawasan Puchong Intan, Puchong Perdana, Puchong Prima, Puchong Utama, Saujana Puchong dan Seri Kembangan.

Aduan juga diterima di kawasan Bangi Seksyen 3,4,5,7,9 bagi Hulu Langat, Saujana Putra di Kuala Langat serta USJ 3, 6, 5, 16.

Untuk sebarang aduan berhubung masalah bekalan air berbau, pelanggan boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800 919/019-2816 793.


Pengarang :