AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti jualan yang berterusan secara menyeluruh dan sentimen pelabur yang lemah, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 8.61 mata kepada 1,566.29 daripada 1,574.90 sebelum ini.

Indeks dibuka rendah 2.94 mata kepada 1,571.96.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 274 berbanding 45, manakala 157 kaunter tidak berubah, 1,499 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 200.21 juta saham bernilai RM67.22 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, penurunan saham tempatan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat berikutan kebimbangan baharu mengenai kelembapan ekonomi global yang boleh terus menjejaskan keyakinan pasaran.

“Didapati indeks utama berada hampir pada paras terendah tahun ini, yang juga paras terendah dalam tempoh empat tahun selepas merosot pada tengah hari semalam.

“Dengan jualan dijangka berterusan, kebanyakannya daripada peserta asing sebagai strategi selamat, kami melihat indeks utama terus mencecah paras rendah yang tidak dilihat dalam tempoh lebih empat tahun berikutan sentimen menjadi semakin lemah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma broker saham itu berkata indeks rendah juga boleh meningkatkan jualan berikutan ramai peserta pasaran mengurangkan pegangan, yang juga dapat dilihat FBM KLCI mempunyai potensi bergerak kepada paras sokongan pada 1,563 dan 1,557, berikutan prospek untuk jangka masa terdekat yang lemah.

Mengenai peningkatan, katanya paras halangan, masing-masing pada paras 1,580 dan 1,590.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot satu sen kepada RM8.52, Tenaga susut dua sen kepada RM13.58, PBBank berkurangan 26 sen kepada RM7.38, PChem susut lapan sen kepada RM7.38, manakala IHH tidak berubah pada RM5.64.

Daripada saham paling aktif, Armada susut setengah sen kepada 30.5 sen, VSolar naik satu sen kepada 8.5 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 27 sen.

Kaunter paling rugi, DLady susut 60 sen kepada RM58.90, diikuti PBBank dan Petronas Dagangan yang merosot 26 sen kepada RM19.44.

Indeks FBM Emas susut 61.69 mata kepada 11,088.23, Indeks FBMT 100 merosot 60.69 mata kepada 10,920.35 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 61.43 mata kepada 11,657.95.

FBM 70 susut 79.46 kepada 13,905.84 dan FBM Ace merosot 25.91 mata kepada 4,490.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 61.02 mata kepada 15,162.29, Indeks Perladangan merosot 17.66 mata kepada 6,651.67 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.89 mata kepada 151.68.

– BERNAMA


Pengarang :