Datuk Azih Muda pada sidang media selepas perasmian Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam Peringkat Zon Pantai Timur 2019 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai pada 23 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Segera gubal Dasar Pengurusan Stress Negara

MARANG, 23 OKT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menggubal segera Dasar Pengurusan Stress Negara bagi membela kebajikan kakitangan awam khusus dari aspek kesihatan mental.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, sejak akhir tahun lepas, Cuepacs telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu beberapa kali bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Hasil kajian beberapa universiti serta badan bebas mendapati lebih 400,000 penjawat awam di negara ini berdepan dengan stres yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti persekitaran kerja, arahan majikan, kos kewangan atau beban kerja yang ditanggung.

“Ini akan membawa mudarat kepada sistem perkhidmatan awam itu sendiri…jadi Cuepacs berharap kerajaan segera gubal dasar itu kerana apabila wujudnya kelak, barulah kita tahu bagaimana Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) dan rakan kaunselor akan memastikan pekerja mereka dapat diberi kaunseling dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam Peringkat Zon Pantai Timur di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd Zahari Hitam dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.

Seminar tersebut disertai 250 peserta melibatkan penjawat awam dari Terengganu, Kelantan dan Pahang bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Azih berkata, ketika ini, penjawat awam yang berdepan tekanan perlu membuat aduan kepada kaunselor atau rakan Akrab di agensi masing-masing dan tidak boleh menyembunyikan masalah itu kerana dikhuatiri akan lebih mudarat sehingga ke tahap mendapat kad psikiatri daripada doktor perubatan.

“Manusia tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu berkongsi masalah yang dihadapi sama ada kepada ketua di tempat kerja, rakan Akrab atau setidak-tidaknya kepada rakan sekerja agar boleh membantunya dalam pengurusan stres,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :