Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Dataran Malawati mercu tanda baharu Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil inisiatif menaik taraf Pekan Lama Kuala Selangor dengan mentransformasikan Dataran Malawati sekali gus menjadikan ia sebagai mercu tanda baharu daerah terbabit.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, Dataran Malawati atau sebelum ini dikenali sebagai Padang Kemerdekaan dinaik taraf bertujuan meningkatkan kualiti terhadap kemudahan awam dan infrastruktur perbandaran selain menjadikan kawasan tumpuan pelancong.

Katanya, kawasan seluas satu ekar itu diwartakan sebagai tempat rekreasi dan sebelum ini ia digunakan penduduk untuk bermain bola sepak serta aktiviti riadah.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin bersama tetamu kehormat bergambar bersama plak Hari Rendah Karbon pada Majlis Perasmian Karnival Kuala Selangor Tahun 2019 MDKS di Dataran Melawati, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Mentransformasikan Dataran Malawati bukan sesuatu yang mudah namun berkat kesabaran dan keikhlasan pasukan projek khas MDKS maka hari ini kita berdiri di atas mercu tanda baharu Pekan Kuala Selangor.

“Namun, dengan adanya transformasi ini diharapkan mentaliti penduduk Kuala Selangor akan berubah dan bersedia menerima perubahan dengan menerapkan rasa kebertanggungjawaban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kuala Selangor 2019 yang acara perasmian disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Dataran Malawati, di sini, hari ini.

Rahilah berkata, beliau optimis orang ramai dapat menggunakan kemudahan awam di Dataran Malawati sebaiknya sekali gus menjauhi diri daripada melakukan perbuatan vandalisme.

“Sebenarnya, saya amat kecewa kerana tidak sampai beberapa hari selepas dataran ini siap, kami menerima pelbagai aduan berhubung aktiviti vandalisme yang berlaku di sini.

“Oleh itu, saya memohon kita semua menjaga keindahan tempat ini sekali gus merealisasikan hasrat MDKS untuk merejuvenasi Pekan Lama Kuala Selangor daripada aspek sosioekonomi, ekopelancongan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.


Pengarang :