AGENDANASIONAL

Harga barang dibeli dalam talian lebih kompetitif

PUTRAJAYA, 16 OKT: Kaedah pembelian dalam talian menjadi dominan dalam kalangan isi rumah daripada hanya bergantung dengan pembelian secara konvensional kerana pengguna kini semakin bijak memilih, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Dalam kita mengharungi cabaran kos kehidupan yang semakin meningkat, salah satu cara pengguna meningkatkan keupayaan membeli adalah melalui e-dagang yang membantu mereka membeli dengan harga yang lebih kompetitif,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penerbitan ‘Malaysia Digital Ekonomi 2018’, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, sektor e-dagang mempunyai ruang yang besar untuk dimanfaatkan golongan peniaga dan individu memandangkan penggunaan internet dalam kalangan isi rumah di Malaysia telah melebihi 80 peratus ketika ini.

“Kita dapat lihat biasanya syarikat yang membuat pembelian bahan mentah dan menggunakan keadah pemasaran menggunakan platform e-dagang biasanya akan mendapat pasaran yang lebih luas,” katanya

“Bagaimanapun, bagi isi rumah di luar bandar, tumpuan perlu diberi untuk membantu mereka menikmati kesan positif pembangunan ekonomi digital ini terutama dari segi capaian dan literasi internet,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, pendapatan melalui transaksi e-dagang mencatatkan nilai RM447.8 bilion pada 2017 berbanding RM398.2 bilion pada 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.0 peratus.

Perbelanjaan transaksi e-dagang pula mencatatkan nilai sebanyak RM228.8 bilion pada 2017 berbanding RM195.1 bilion pada 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.3 peratus, katanya.

Beliau berkata, penyumbang utama pendapatan dan perbelanjaan e-dagang adalah sektor pembuatan, masing-masing sebanyak RM287.5 bilion dan RM179.5 bilion.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, sektor ekonomi digital perlu tumbuh lebih pesat berbanding sektor-sektor lain untuk menjadi pemangkin kepada keseluruhan aktiviti ekonomi negara

Menurutnya, ekonomi digital pada tahun lepas menyumbang sebanyak RM267.7 bilion kepada ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus berbanding 9.8 peratus pada 2017.

Pada tahun lepas, sektor ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang terdiri daripada Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDTMK) (NDKTMK: 12.6 peratus) dan e-dagang bagi industri bukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (5.9 peratus).

– BERNAMA


Pengarang :