AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Henti tanya bila Tun M mahu lepas jawatan – Anwar

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang ramai supaya berhenti bertanya dan berspekulasi mengenai isu rancangan mengganti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, media tidak sepatutnya dihantui dengan isu itu sehingga bertanyakan kepada Dr Mahathir soalan ini pada setiap peluang yang ada.

Anwar menjawab soalan peserta pada Persidangan Kepimpinan APEX di sini, semalam.

Anwar berkata, Mahathir sendiri memberitahunya bahawa beliau akan memenuhi dan menepati janjinya.

“Beliau memberitahu saya, dan saya menghargai sikap ini. Dia berkata, ‘Anwar saya telah berjanji, saya memegangnya, tetapi jangan biarkan ia menjadi seperti ini, memaksa saya untuk pergi atau memaksa saya untuk mengumumkan tarikh sebenar kerana saya akan menjadi perdana menteri yang tidak berupaya, sementara itu saya mahu untuk berkhidmat.

“Tetapi maksud saya ialah, bukan apa yang Anwar mahu, tetapi keperluan negara, yang merupakan dasar baharu, menjamin keyakinan rakyat Malaysia dan meningkatkan ekonomi. Itu yang paling utama,” katanya.

Sementara itu, Anwar pada sebelah petang hari sama berlepas ke Indonesia untuk menziarahi keluarga Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie), bekas presiden Indonesia di Patra Kuningan, Jakarta.

Tiba kira-kira jam 8 malam, Anwar disambut dua anak BJ Habibie, iaitu Ilham Akbar Habibie dan Thareq Kemal Habibie. Anwar kemudian bersilaturrahim dengan orang ramai yang mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham.

Anwar turut memohon maaf kepada keluarga Allahyarham atas kekangannya yang tidak dapat hadir pada hari pengebumian Allahyarham pada 12 September lepas.

BJ Habibie meninggal dunia di usia 83 tahun di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya pada 11 September.

BJ Habibie adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Bercakap kepada pemberita, Anwar yang turut mengimbau kenangan dan keakrabannya bersama Allahyarham berkata, hubungan Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi, menerusi hubungan akrab antara pemimpin kedua-dua negara.

“Hubungan intim (perlu) kalangan pemimpin (kedua-dua negara) dan sebahagian besar permasalahan (antara kedua-dua) negara akan dapat diselesaikan,” kata Anwar.

Pada majlis pengebumian Bj Habibie, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah, hadir menzahirkan penghormatan dan takziah Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :