AGENDANASIONAL

Inisiatif Ujian SmartLane lancarkan trafik Setia Alam-Shah Alam

SHAH ALAM, 17 OKT: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memperkenalkan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual untuk mengatasi aliran kesesakan trafik di laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bermula 23 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, langkah itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekali gus mengurangkan kesesakan di antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

Katanya, PLUS turut merancang melaksanakan teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan memantapkan inisiatif SmartLane secara elektronik seperti yang dipraktikkan di United Kingdom dan Belanda.

“Berdasarkan kajian, pertembungan trafik serta permukaan jalan yang sedikit mendaki telah menyumbang kepada kesesakan di NKVE. Projek pengujian SmartLane ini adalah langkah proaktif bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang lancar.

“Dalam tempoh waktu puncak tersebut, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik,” katanya dalam kenyataan.

Pengujian sistem SmartLane ini akan dilaksanakan di Lebuhraya NKVE antara KM3.2 hingga KM9.2 arah utara mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pelaksanaan itu terbahagi kepada dua fasa dengan Fasa Pertama akan beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang di sepanjang laluan terbabit manakala Fasa Kedua dijangka akan beroperasi pada Suku Kedua 2020 dengan menggunakan teknologi Sistem ITS sepenuhnya.

Zakaria berkata, PLUS telah melakukan persiapan rapi untuk melaksanakan inisiatif ini antaranya menempatkan anggota polis dan PLUSRonda di lokasi, memasang papan tanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik dan menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.

“Berdasarkan rekod PLUS, sebanyak 302,000 kenderaan menggunakan NKVE pada setiap hari dengan 22 peratus daripadanya memasuki lebuh raya berkenaan secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi.

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan SmartLane, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di laluan Setia Alam-Shah Alam sebanyak sehingga 40 peratus, sekiranya aliran trafik lancar tanpa sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.

“Namun, PLUS turut menyediakan trak tunda untuk bersiap sedia di lokasi untuk menghadapi sebarang kejadian,” katanya.

Jelasnya, teknologi ITS yang digunakan pada Fasa Kedua membolehkan PLUS mengurus penguatkuasaan dan menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien menerusi pemantauan Pusat Kawalan Trafik PLUS di ibu pejabat, Persada PLUS.

Beliau menambah, inisiatif SmartLane akan diperluaskan di lokasi lain lebuh raya PLUS pada masa akan datang di samping menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan di laluan tersebut.


Pengarang :