Tengku Permaisuri Norashikin melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Karnival Kuala Selangor 2019 di Dataran Melawati, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Karnival Kuala Selangor ketengah warisan sejarah, budaya

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Karnival Kuala Selangor yang berlangsung hari ini di Dataran Melawati, di sini menjadi landasan terbaik dalam mengetengahkan warisan sejarah dan budaya di daerah terbabit.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, karnival julung kali itu turut mempromosikan produk pelancongan, sesuai dengan lokasinya dalam gugusan eko pelancongan.

“Penganjuran karnival ini adalah inisiatif dalam mengetengahkan warisan sejarah dan budaya yang mengambil pendekatan sebagai elemen penyampai kepada pengunjung.

“Malah, ia amat sinonim apabila peranan Kuala Selangor sebagai pusat perkembangan warisan sejarah dan budaya yang begitu siginifikan dengan perkembangan awal Kesultanan Melayu negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kuala Selangor 2019 yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Rahilah berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan khusus buat pengunjung antaranya pencarian harta karun, pertandingan permainan tradisional dan Glow In The Dark Run yang akan diadakan malam ini sekitar 11 malam.

Katanya, bagi menyahut seruan kerajaan yang menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang 2030, MDKS turut komited menganjurkan Hari Rendah Karbon buat julung kalinya.

“Namun, sasaran ini memerlukan komitmen berterusan dan bersepadu terutama di kawasan bandar di Malaysia manakala kerajaan tempatan juga perlu mengambil tanggungjawab dan peranan utama dalam membentuk pengurangan karbon dioksida.

“Justeru, MDKS turut bertanggungjawab merangka pelbagai program ke arah matlamat bandar rendah karbon seperti menganjurkan kempen penanaman pokok, penyediaan laluan pejalan kaki, kebun komuniti dan penggunaan sistem pengumpulan air hujan,” katanya.

Karnival itu bermula jam 7 pagi dan bakal berakhir jam 1 pagi.


Pengarang :