AGENSISELANGOR

Kejohanan Golf Amal YIDE 2019 kumpul RM400,000

SHAH ALAM, 21 OKT: Kejohanan Golf Amal YIDE 2019 edisi ketiga bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan berjaya memperoleh RM400,000.

Kejohanan berlangsung pada 19 Oktober lalu di Bukit Kemuning Golf & Country Resort itu bertepatan dengan fokus utama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang berperanan sebagai agensi khidmat bantuan kebajikan masyarakt Islam di Selangor.

Pengerusinya, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, sumbangan dana itu membabitkan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (RM140,000) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbang RM50,000.

Katanya, ia diikuti Sipro Plastic Industries Sdn Bhd (RM30,000) dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor berjumlah RM20,000.

“YIDE turut menerima sumbangan RM10,000 daripada 10 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan dan berharap ia dapat dianjurkan setiap tahun.

“Kutipan dana ini akan digunakan untuk membantu yayasan melaksanakan aktiviti kebajikan yang sudah dirancang terutama bagi membantu mangsa ditimpa musibah seperti kebakaran dan banjir,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Bakhtiar berharap orang ramai boleh menyumbang untuk meningkatkan dana, khususnya bagi pembinaan rumah anak yatim di Pulau Indah yang dijangka bermula tahun hadapan.

“Saya percaya anak syarikat Kerajaan Negeri dan pihak swasta ada peruntukan tanggungjawab sosial korporat serta berharap ia boleh disumbang kepada YIDE yang diberi kuasa untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Kejohanan itu disertai seramai 128 pemain golf terdiri daripada kakitangan dan pengurusan anak syarikat Kerajaan Negeri, syarikat swasta, pemaju hartanah, anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor serta orang awam.

Penganjuran itu mendapat kerjasama MAIS, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Baktisuci Holdings, Majlis Sukan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan akbar Berita Harian, Media Prima Berhad serta Media Selangor sebagai rakan media.


Pengarang :